Senyuman manis terlakar di bibir Qrisha. Pagi-pagi lagi hatinya sudah berbunga. Masakan tidak sedikit masa lagi dia akan bertemu dengan orang yang sangat dirindui sepanjang cuti sekolah berlangsung. Sememangnya hanya dia sahaja yang tidak menyukai cuti sekolah bermula. Pada masa itu dia akan merindui seseorang. Seringkali juga dia mendoakan agar cuti sekolah cepat berlalu. Qrisha tersenyum seorang diri.
“Ah, sampai pun!” Qrisha menjerit kecil. Dia mengusung basikalnya mendaki bukit sekolah.
Adakah dia sudah sampai atau masih lagi dalam perjalanan? Harap-harap aku dapat bertembunglah dengan dia sebelum masuk ke kelas. Qrisha berangan lagi. Dengan tidak disangka tiba-tiba sebuah kereta proton perdana v6 berwarna hitam metalik melalui di sebelah Qrisha. Qrisha sempat melemparkan pandangan pada seseorang di dalam kereta tersebut
Ah, itu dia! Dia yang aku rindu selalu. Dia yang membuatkan aku sering tidak tidur malam. Dia juga yang membuatkan aku seringkali lupa pada duniaku… Irfan Qadziem! Kau membuatkan aku semakin gila kepadamu…
Qrisha cepat-cepat mengusung basikalnya ke bangsal basikal. Basikal dikunci olehnya. Dia berlari anak menuju ke tengah tapak perhimpunan. Di situ berhentinya kereta perdana v6. Qrisha menghentikan lariannya. Matanya tidak berkelip memandang ke arah kereta tersebut. Walaupun begitu ramai pelajar lalu lalang di hadapannya, sedikit pun tidak diendahkan olehnya. Seolah-olah pelajar-pelajar itu lenyap dari pandangannya.
Irfan Qadziem keluar dari perut kereta. Qrisha terpaku seketika. Rindunya aku kepadamu… semakin lama aku tengok semakin handsome pula dia ni. Irfan… alangkah bagus jika aku dapat memilikimu… Qrisha mengecilkan anak matanya. Pandanglah kepadaku wahai pujaanku agar aku dapat mengubati rinduku ini…
Seperti diseru, Irfan memandang Qrisha lalu senyuman menghiasi bibirnya. Mahu gugur jantung Qrisha dibuatnya. Dia senyum kat aku ke ni? Harap-harap begitulah. Qrisha membalas kembali senyuman kepada Irfan.
Irfan tiba-tiba mengorak langkah menuju ke arah Qrisha. Begitu bergaya sekali gerak langkahnya. Semakin lama semakin hampir. Alamak, dia datanglah pula. Macam mana ni? Jantung Qrisha mula berdegup kencang memainkan rentak irama sumbang. Tidak tahu berbuat apa Qrisha mula mengatur langkah. Niat di hati mahu melarikan diri.
“Awak, tunggu dulu!” Irfan memanggil Qrisha.
Dia panggil aku ke? Qrisha menghentikan langkahannya lalu berpaling ke arah Irfan.
“Awak panggil saya ke?” Qrisha menunding jari telunjuk kepada dirinya. Irfan mengangguk. Bibirnya tetap terserlah dengan senyuman.
“Kenapa awak nak beredar tadi? Takut dengan saya ke?” Irfan mengusik Qrisha.
“Aaa… bukan… saya sebenarnya…errr… sebenarnya…nak pergi sana… ermm… pergi kantin. Yup nak pergi kantin.” Qrisha tersengih. Gelabah dia menjawab pertanyaan Irfan itu. Agak gementar dia apabila berhadapan dengan Irfan. Semuanya jadi tidak kena.
Irfan tersenyum lagi. Mahu pengsan Qrisha dibuatnya apabila dihadiahkan senyuman sebegitu rupa oleh jejaka yang telah pun mencuri hatinya tanpa disedari oleh jejaka itu sendiri.
Wahai pencuri hatiku janganlah kau senyum sebegitu kepadaku. Mahu aku demam tak kebah nanti.
“Awak…” Irfan meraih jari jemari Qrisha.
Mahu cair seperti coklat Qrisha dibuatnya. Longgar segala sendi di tubuh. Jantung berdetap lebih laju dari keretapi ekspress KLIA. Alahai Irfan apa kau nak buat kat aku ni?
“Sebenarnya dah lama saya pendam perasaan ini. Baru sekarang ingin saya luahkan. Ermm… saya dah lama suka pada awak…” Qrisha terpana.
“Apa?” Qrisha rasa seperti ingin terbang. Tidak disangka Irfan juga mempunyai perasaan yang sama dengannya.
“Ye awak… saya suka awak. Tak pernah saya lupakan awak walau sesaat. Jadi saya ingin tahu apa perasaan awak pada saya. Qrisha Dayana… adakah awak suka pada saya?” Irfan merenung ke dalam anak mata Qrisha.
Terkedu Qrisha seketika. Lidahnya turut terkelu. Bibir terkunci rapi. Alamak, apa aku nak jawab ni?
Jawab ajelah Qrish yang kau pun turut sama suka pada dia. Habis cerita. Lagi pun memang kau ada hati pada dia. Inilah masanya Qrish…inilah masanya.
“Err…sebenarnya Irfan… saya pun sama. Saya pun suka pada awak.”